Monday, September 26, 2011

Cinta Berintikan Kasih



Dia tidak mengejar cinta. Dia juga tidak mengharapkan cinta lagi setelah bahagia yang terasa terpaksa dilepas pergi. Itulah Puteri Nur Zaharaq. Hidupnya hanya dikelilingi kawan-kawan jururawat dan pesakit-pesakit di wad.

Peristiwa terlanggar seseorang membuatkan hatinya tersentuh lagi. Hati gadisnya dimamah rindu dan dunianya yang kosong menjadi begitu indah sekali. Sayang, dia hanya bermimpi. Jejaka yang disangka akan menjadi seseorang yang istimewa di dalam hidupnya meninggal dunia akibat kemalangan di jalan raya. Kenangan yang ditinggalkan oleh anak muda itu hanyalah satu nama, Maria. Nama itu tertera pada badan motosikal yang ditunggangi oleh jejaka malang itu.

“Itu kedai saya. Saya suka kalau awak boleh jadi kawan saya. Secara langsung. Tak nak melalui Facebook. Tak best.”

Hidupnya menjadi kucar-kacir setelah lelaki itu meninggal dunia. Dia terserempak Maria yang ditunggangi seorang lelaki lain yang perwatakannya seiras jejaka yang sudah memesrai hatinya. Adakah dia bermimpi? Atau mungkin lelaki itu hidup kembali dan menjadi hantu? Dia keliru sehingga terpaksa berjumpa dengan pakar sakit jiwa!

“Dialah cinta hati saya. Cuma saya tak pasti sama ada diakah yang saya cari atau orang lain.”

Harga senaskah : RM 19.90 (Sem) dan RM 22.90 (Sabah dan Sarawak

Friday, September 16, 2011

Seandainya.....

 

Masing-masing enggan meluahkan isi hati. Hanya bahasa tubuh dan bicara tersirat yang memainkan peranan. Areena tidak berani membuka pintu hatinya untuk Wan Zaharris. Bimbang dirinya akan dikecewakan sebagaimana Zaharris Arman menghancurkan hatinya berderai berkeping-kepingan. Wan Zaharris pula bersenda di dalam kata-kata seriusnya terhadap Areena, berharap gadis itu bisa membaca apa yang tersirat di dalam hatinya. Ke manakah sudahnya hala tuju perhubungan ini?

Pertemuan di dalam komuter menjadi bibit memori yang indah buat Shamsul Azhar. Redup mata Areena mengganggu ketenangan kolam hatinya. Jejaka pemalu ini di dalam diam mengharapkan pertemuan seterusnya biarpun masing-masing pernah hampir disatukan.

Tatkala Zaharris Arman menagih kembali cinta Areena, Wan Zaharris muncul sebagai perwira yang melindungi Areena dari sebarang ancaman kehancuran hati buat kali kedua. Tatkala Areena bersedia menerima kehadiran Wan Zaharris dengan hati yang terbuka, takdir penentu segala-galanya mengambil tempat.

Seandainya Areena membuka pintu hatinya terhadap Wan Zaharris… seandainya Wan Zaharris berterus terang dengan Areena… seandainya takdir tidak wujud di antara mereka berdua, apakah dua insan ini akan beroleh kebahagiaan yang hakiki.
 
Harga senaskah : RM 29.00 (semenanjung) dan RM 32.00 (sabah dan serawak)

Sunday, September 11, 2011

Tulis Cinta Dalam Hati

 

Saya Mai. Umur saya 19 tahun. Saya tidak seperti remaja lain yang sangat percaya dan yakin pada cinta. Saya tidak percaya pada cinta! Benarkah? Aneh, bukan?

Saya ada tiga orang ibu; Mak, Umi dan Mak Cik Nita. Saya punya tiga orang ayah; Bak, Abah dan Pak Cik Yusman. Tetapi saya masih rasa aneh, mengapa langsung tiada cinta dalam hati saya?

Saya sedang berusaha menulis kata ‘cinta’ dalam diari hati saya. Mampukah saya?

Inilah kisah saya!

Harga buku : RM 17 (Semenanjung) dan RM19 (Sabah dan Sarawak)

Sunday, September 4, 2011

Nian Hati Salsabila

 

Dari puncak yang sejuk nian, dia mula mengenal dan belajar mengenai kepentingan berkongsi. Dia terkesan dengan ungkapan murabbinya ini. "Dakwah itu bermaksud mengajar." Dalam al-Quran ada menyebut supaya kita berdakwah atau mengajak manusia kembali pada ajaran Allah yang sebenar dengan cara berhikmah dan melarang mereka dengan pebuh kebaikan. Jika berlaku pertembungan, uruskanlah dengan penuh toleransi.

Dari saat itulah gadis manis yang bernama Naurah Salsabila mula melebarkan sayapnya. Dia terus terjun ke dunia yang penuh dengan suka duka, cabaran dan ujian hanya kerana rasa tanggungjawab untuk berkongsi dengan ummah. Lantas diteguhkan niatnya kerana Allah, diladeni akannya sunnah Rasulullah.

Harga Senaskah : RM 17.00 (Semenanjung) dan RM 19.00 (sabah dan sarawak)

Saturday, September 3, 2011

Mahar Cinta Cinderella

 

Pertemuan pertama Nur Sayang dan Dr. Andrew bagaikan dongeng Cinderella. Doktor berbangsa Cina itu menyelamatkan jururawat pelatihnya dengan mneggunakan sepasang kasut. Walaupun Nur Sayang berasa terhutang budi, namun dia membenci Dr. Andrew kerana sering menggelarnya 'Islam Celup'.

Jiwa Nur Sayang juga tertekan apabila perkahwinannya dengan Kamil asyik tertangguh. Dia sedar dia bukanlah gadis pilihan ibu Kamil. Dia juga bimbang masa depannya dengan Kamil akan berakhir seperti nasib ibunya.

Dr. Ehsan muncul selepas Dr. Andrew gagal memurtadkannya. Dengan cinta yang sudah lama terpendam, Dr. Ehsan melamar Nur Sayang tetapi ditolak oleh gadis itu. Dr. Ehsan membawa rajuknya ke Palestin.

Lalu, Nur Sayang mengutip sisa-sisa hidupnya yang masih panjang bagi memperbaiki diri. Dia akhirnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Di sana, dia terperangkap dalam Revolusi Mesir menggulingkan presiden.

Apakah cinta persis dongeng Cinderella berjaya membawa kebahagiaan lewat jam 12? Ataupun hidup ini tidak semestinya berakhir seindah sebuah dongeng?

Harga : RM 18.00 (semenanjung) dan RM 20.00 (sabah dan sarawak)

Pilihan Pembaca

Vote Jangan Tak Vote